Bilik pameran Rolls-Royce


ROLLS-ROYCE Motor Cars baru-baru ini mengumumkan pembukaan rasmi bilik pameran pertama jenama kenderaan mewah itu di Petaling Jaya, Selangor. Dikenali sebagai Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, premis dengan keluasan 224 meter persegi itu kini memperagakan tiga model Rolls-Royce dan sebuah ruang menunggu bagi pelanggan.

Bilik pameran tersebut juga menyediakan pilihan jenis material seperti kayu, kulit dan warna untuk dipadankan dengan model kereta yang bakal dibeli oleh pelanggan. Premis tersebut dikendalikan oleh Quill Motorcars Sdn. Bhd. (Quill Motorcars) iaitu rakan penjual sah Rolls-Royce Motor Cars.

Pengarah Rantau Asia Pasifik, Rolls-Royce Motor Cars, Paul Harris berkata, pihaknya akan terus melabur dalam pasaran Malaysia ekoran pertumbuhan ekonomi pesat dan peningkatan permintaan bagi kereta mewah.

“Kehadiran Rolls-Royce di Malaysia menunjukkan komitmen kami untuk memberikan sokongan perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan yang baru mengenali jenama ini,” katanya.
Quill Motorcars mensasarkan jualan dua angka kenderaan Rolls-Royce pada tahun ini.

Bilik pameran itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Ir. Donald Lim Siang Chai; Setiausaha Pertama, Perdagangan dan Pelaburan, Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur, Matthew Smith; Pengurus Besar Rolls-Royce Motor Cars, Brenda Pek dan Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong.

Buat masa ini, terdapat 81 wakil penjual Rolls-Royce di seluruh dunia dan sebanyak 18 buah bilik pameran Rolls-Royce Motor Cars di rantau Asia Pasifik.

Menurut Ong, pelancaran bilik pameran tersebut menjadi mercu jaya penting bagi pihaknya untuk membina perniagaan Rolls-Royce di Malaysia.

“Bermula dengan demonstrasi model Phantom dan Ghost kepada membantu pelanggan menyesuaikan material pada kereta yang ditempah khas, kami bersedia untuk memastikan semua pelanggan Rolls-Royce menikmati pengalaman pemilikan yang terbaik.

Selain itu, bengkel dan gudang penyimpanan alat ganti milik Quill Motorcars dilengkapi teknologi terkini untuk menyelenggara model Rolls-Royce. Ia mendapat sokongan penuh kilang Rolls-Royce di Goodwood, West Sussex, England.

Bilik pameran Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur boleh dihubungi di talian 03-7960 2333.

Sumber: Kosmo!