Aftermarket Racing Boy

Meng Tek melihat barangan keluaran syarikatnya


Oleh SHAWKATH AZDE
Shawkath.ashraf@kosmo.com.my

INDUSTRI motosikal khususnya bagi kategori bawah 150cc semakin menarik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 
Pelbagai teknik diketengahkan oleh para pengeluar kapcai untuk memenuhi selera pengguna. Aspek warna, rekaan sporty, kekemasan rupa bentuk, keselesaan menunggang, penambahbaikan enjin dan aksesori seperti sport rim diadun membentuk satu produk yang lebih baik.

Jika melihat kepada motosikal atau kapcai yang dihasilkan sekitar tahun 1980-an dan awal 1990-an, rekaannya berkotak-kotak dan bulat dengan pilihan terhad.

Tiada sport rim didatangkan bersama motosikal yang dikeluarkan secara standard dari kilang. Walau bagaimanapun, pengguna masih boleh mendapatkan sport rim yang ditawarkan sebagai aksesori dalam industri aftermarket tempatan. Kebanyakan produk tersebut datangnya dari Thailand.

Salah seorang individu yang berada di kedua-dua zaman perkembangan segmen tersebut ialah Lee Meng Tek, seorang mekanik di sebuah bengkel di Pulau Pinang. Kerjaya selama 15 tahun membenarkan dirinya memperoleh pemahaman mendalam mengenai keperluan pelanggan.

Pendedahan tersebut mengubah kerjayanya dan industri aftermarket tempatan. Beliaulah individu di sebalik kelahiran jenama Racing Boy. Rangkaian produk aksesori dan alat ganti aftermarket tempatan untuk motosikal underbone.


Merupakan Pengarah Urusan Meng Kah Auto Parts Trading Sdn. Bhd. (Meng Kah Auto), syarikat tersebut bertanggungjawab mengeluar dan mengedar pelbagai jenis produk di bawah jenama Racing Boy, Uma Racing, Koso dan Solcar.

Antara rangkaian produk Racing Boy meliputi set sport rim, rim aloi, penyerap hentak, balancer, angkup brek, fork stabilizer, pam silinder utama, set ceper brek, sistem perehat kaki, lengan ayun serta baju hujan.

Harus tahu bahawa bukan semua produk ditawarkan yang Meng Kah Auto mampu memenuhi segala keperluan model kapcai dalam pasaran. Ada sebilangan aksesori boleh diguna pakai untuk semua model, misalnya rim aloi dan penyerap hentak.

Antara model sport rim Racing Boy

Sementara sebahagian lain pula dikhususkan kepada model-model tertentu seperti Yamaha LC 135, RXZ, Nouvo, Lagenda, Ego, Honda Wave 100R dan 125, Suzuki Belang 150 dan Modenas Kriss dan GT128. Sebabnya, model-model berkenaan ialah antara jentera panas dalam pasaran.

Jadi, bagaimana untuk menghasilkan komponen yang boleh diterima ramai? Salah satu caranya, Meng Kah Auto akan membeli mana-mana model laris dalam pasaran, sebelum meleraikannya dan menghasilkan aksesorinya.

Oleh itu, tidak hairan jika senarai model yang dinyatakan tadi mempunyai lebih banyak pilihan aksesori. Formulanya cukup mudah. Model yang laris mewujudkan pasaran aftermarket lebih luas.

Meskipun begitu, harus diakui bahawa pengguna lebih mengenali Racing Boy dengan produk sport rim. Sebenarnya itulah produk pertama Racing Boy dan berjaya mempopularkan jenama tersebut.

Faktor kenapa sport rim keluarannya terkenal agak subjektif. Antara elemen penting adalah rekaan, warna yang menarik serta rasa percaya pengguna terhadap kualitinya. Namun apa yang pasti, kesukaran untuk mendapatkan jenama sport rim lain seperti Daiichi atau Enkei sememangnya membuka laluan kepada Racing Boy.

Meng Tek menceritakan perjalanan
Racing Boy kepada penulis

“Awal tahun 1990-an, hanya ada sport rim keluaran syarikat Thailand di pasaran. Kualiti buatannya pula rendah dan kasar. Sport rim itu juga berat dan tebal. Harganya pun sangat mahal. Tetapi ia masih dianggap sebagai aksesori yang cantik,” kata Meng Tek.

Penglibatan Meng Tek dalam industri aftermarket bermula dengan mengedar set sport rim buatan Thailand. Hampir empat tahun dihabiskan untuk menjual produk tersebut di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Bagaimanapun jualan kurang memberangsangkan. Cuma 50 set sport rim sebulan.

“Harga pada ketika itu adalah sekitar RM400 sehingga RM500 untuk setiap set,” katanya. Bermula dari situ, timbul keinginan untuk memperkenalkan produk sport rim yang lebih berkualiti dan mendahului lambakan produk-produk kurang bermutu dalam pasaran.

Model Yamaha LC 135 ini dilengkapi dengan pelbagai produk aftermarket Racing Boy


Pengeksportan produk

Penerimaan sport rim aloi jenama Racing Boy dalam pasaran bukannya mudah. Ia perlu bersaing dengan barangan Thailand. Apatah lagi ketika itu, penerimaan sesuatu produk berkait rapat dengan soal harga. Produk berharga rendah mudah mendapat tempat dalam pasaran. Sasarannya ialah keuntungan. Berbeza dengan jenama Racing Boy yang lebih mengutamakan kualiti.

Ini menyebabkan harga sport rim keluarannya lebih mahal, sekali gus menguji kemampuannya untuk bertahan dalam industri. Meng Tek mengakui perjalanan cukup mencabar sehingga terpaksa membuat pinjaman di merata-rata tempat untuk membayar gaji pekerja.

“Banyak sekali kesusahan yang terpaksa ditempuh demi menjayakan jenama ini,” katanya yang memberitahu Racing Boy mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk mendapat kepercayaan daripada para pengguna.

Ia nyata satu penantian yang berbaloi buat Racing Boy. Lihat sahaja kepada statistik jualan sport rim keluarannya sekarang. Sebanyak 60,000 set hingga 70,000 set sport rim mampu dijual dalam setahun.

Nilai jualan keseluruhan produk Racing Boy juga sudah mencecah lebih daripada RM1 juta sebulan. Bilangan pengedarnya menjangkau 1,000 orang di seluruh negara. Malah rangkaian produk itu juga sudah dipasarkan ke beberapa negara lain termasuk Thailand, Vietnam, Singapura, Filipina dan terbaru di Greece.

Bagi Norwati Nordin, 26, pemilihan sport rim jenama Racing Boy dibuat berdasarkan kepada kualiti serta daya ketahanannya untuk kegunaan harian.

Turut bersetuju ialah Aliff Shah Sedek, 23. Baginya, penggunaan produk Racing Boy dalam Kejohanan Cup Prix Malaysia oleh para pelumba menguatkan lagi minatnya untuk mencuba jenama itu.

“Setakat ini, nama Racing Boy memang boleh dipercayai. Rekabentuk dan kualitinya juga bagus,” demikian kata Chua Kok Sing dari Ah Hong Motor Sdn. Bhd. yang bertindak selaku pengedar produk Racing Boy.

Penyelidikan dan pembangunan
Setiap produk baru Racing Boy perlu melalui peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum ia dijual. Tempoh masa yang diambil untuk kerja-kerja R&D untuk satu-satu produk kadangkala boleh melebihi satu tahun.

Secara puratanya, Meng Kah Auto akan menjalankan proses R&D melibatkan 10 hingga 20 jenis rekaan baru dan barangan dengan pelaburan mencecah RM500,000 setiap tahun.

“Pada tahun ini, kami akan menjalankan R&D untuk 35 produk dan aksesori baru. Ini adalah jumlah tertinggi yang pernah direkodkan kerana pasaran kita masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara Asia yang lain,” katanya.

Malaysia dikatakan menduduki tangga keempat pasaran aftermarket motosikal di negara Asia selepas Jepun, Taiwan dan Thailand.

Menyentuh tentang industri aftermarket kapcai tempatan, Meng Tek mengakui tidak banyak maklumat yang mampu diberinya. Mungkin kerana sebelum ini belum ada kajian mendalam mengenainya dijalankan.

“Biasanya pasaran ini tertumpu kepada golongan berusia di antara 16 tahun sehingga 29 tahun. Selepas usia itu, mereka akan beralih menggunakan kereta,” katanya.

Berdasarkan kepada senario tersebut, boleh dikatakan bahawa segmen pasaran aftermarket kapcai tidak seluas mana. Pelanggan terbesarnya ialah kaum lelaki dengan 80 peratus pelanggan Racing Boy terdiri daripada orang Melayu.

“Kami berharap pada suatu hari nanti, komponen dan aksesori aftermarket untuk motosikal superbike mampu dihasilkan. Namun, saya akui, masih jauh untuk sampai ke peringkat itu. Itulah rancangan masa depan Racing Boy,” katanya.

Sumber: Kosmo!