Volvo S60 Baru

Demonstrasi kehebatan Volvo S60 oleh Ivan


Oleh SHAWKATH AZDE

KERETA dipandu membelok masuk ke kawasan taman perumahan. Destinasi si pemandu ialah menjemput teman wanitanya untuk makan malam. Langit berubah hitam dan hujan mula turun. Penglihatan pemanduan mula menjadi kabur. Secara tiba-tiba seorang wanita melintas di hadapannya.

Pemandu terkejut dan terus panik. Pedal brek gagal dipijaknya, namun kenderaan berjaya membrek sendiri. Wanita tersebut masih berdiri di tengah-tengah jalan. Bukan suatu misteri jika anda memandu model terbaru Volvo S60.

Pengurus Produk Rangkaian Serantau Asia Volvo Car Asia, Akhtar Sulaiman berkata, keupayaan Volvo S60 membrek sendiri adalah aplikasi teknologi Pengesanan Pejalan Kaki yang akan membrek sepenuhnya jika pemandu gagal berbuat demikian.

“Ia berfungsi sepenuhnya apabila mengesan objek manusia dengan ketinggian minimum 80 sentimeter dan di bawah kelajuan 35 kilometer/sejam (km/j). Sekiranya kelajuan melebihi paras berkenaan, kelajuan S60 akan dikurangkan untuk mengurangkan impak pelanggaran,” katanya pada majlis pelancaran dan pandu uji baru-baru ini.

Hadir pada majlis sama ialah Presiden Serantau Asia Volvo Car Malaysia Sdn. Bhd. (Volvo Malaysia), Goran Larsson.

Seperti teknologi canggih lain, ia tetap memiliki kelemahan. Jika bateri kereta sudah lemah, ia tidak berfungsi. Teknologi itu juga tidak berupaya mengenal pasti pejalan kaki sekiranya individu berkenaan membawa objek besar, contohnya kotak.

Larsson bersama S60 3.0 T6


Pendek kata, Volvo sudah memberikan teknologi terbaik. Selebihnya bergantung pada pemandu sendiri. Teknologi tersebut mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan ini sekali gus membolehkan jenama Sweden itu mendahului pesaing lain di pasaran antarabangsa. Model S60 juga sarat dengan beberapa teknologi lain seperti Collision Warning with Auto Brake, Driver Alert Control, Lane Departure Warning, Blind Spot Information System dan Adaptive Cruise Control.

Untuk pasaran tempatan, Volvo Malaysia memperkenalkan dua varian S60 iaitu 3.0 T6 (AWD) dan 2.0 T5. Kedua-dua varian yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Belgium dijangka merangkumi 50 peratus jumlah jualan semua model Volvo sehingga tahun 2012. Sasaran tahun 2012 ialah sebanyak 1,200 unit kenderaan.

Varian 3.0 T6 didatangkan dengan enjin turbo enam silinder yang berupaya menghasilkan 304 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 440Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan Geartronic. Enjin itu berupaya mencapai kelajuan 0-100 km dalam tempoh 6.1 saat dan kelajuan maksimum 250 km/j.

Untuk 2.0 T5, Volvo mengetengahkan enjin empat silinder dengan transmisi Poweshift enam kelajuan automatik Geartronic. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 230 km/j. Harga atas jalan tanpa insurans bagi varian 3.0 T6 (AWD) ialah RM348,000 seunit, manakala 2.0 T5 pula ditawarkan pada harga RM288,000.

Sumber: Kosmo!