HONDA CBR 250R

Oleh SHAWKATH  AZDE

MOTOSIKAL berkuasa tinggi (250cc ke atas) masih dianggap sebagai barangan mewah di Malaysia. Harganya yang berlipat kali ganda berbanding negara-negara jiran membuatkan pengguna tempatan tidak mempunyai banyak pilihan. Sebagai contoh, segmen 250cc.

Selama ini, ia hanya dimonopoli oleh Kawasaki menerusi model Ninja 250R. Itu pun selepas pengedar jenama tersebut, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. mengambil keputusan untuk menjadikannya produk CKD (dipasang tempatan) di kilangnya di Glenmarie Shah Alam.

Model CBR250R

Jika dinilai dari segi harga dan produk yang dibawa masuk oleh pengedar sah, Kawasaki Ninja 250R cuma dicabar oleh model Naza Blade 250R. Mengambil model Hyosung dari Korea, Naza Blade 250R bagaimanapun tidak mampu memberi impak besar dalam pasaran. Sekarang, terimalah tawaran terbaru daripada  Honda , CBR 250R.

Sejak dilancarkan di Thailand pada Oktober lalu, ia nyata mampu menarik minat ramai peminat motosikal di sana. Kini, momentum itu mahu dilanjutkan pula ke pasaran tempatan mulai 17 Februari lalu.

Harus diakui bahawa CBR ialah produk ikonik Honda. Sejarah kelahiran CBR bersesaran 250cc bermula kira-kira 25 tahun lalu. Sejak itu, Honda terus melakukan pembaharuan hampir setiap tahun. Ahli keluarga CBR turut merangkumi motosikal berkuasa 125cc sehingga 1,100cc. Popularitinya kian memuncak setelah berjaya menguasai Kejohanan Supersport Dunia bermula dari tahun 2002 hingga 2010. Lapan kejuaraan kategori pelumba sudah dirangkul.  Honda  juga mendominasi kategori pengeluar kejohanan tersebut sejak 2003 sehingga tahun 2010.

Versi terbaru CBR 250R merupakan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand oleh Thai Honda Manufacturing Co. Ltd. (Thai  Honda). Thai Honda akan mengeksport model CBR 250R ke pasaran negara-negara Asean, Jepun, Eropah, Amerika Utara dan Australia. Selain Thailand, model itu bakal dikeluarkan oleh Honda  Motorcycle and Scooter India Pt. Ltd. (Honda  India) tidak lama lagi. Produk itu dijadual dipasarkan ke Amerika Selatan.

Juga dikenali sebagai  Honda  MC41, ia dibawa masuk oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew). Tanpa Boon Siew, mungkin kita terpaksa menunggu lebih lama untuk menunggangnya. Sebelum ini, model-model CBR yang lain memasuki pasaran melalui khidmat grey importer. CBR 250R mengambil alih model lebih kecil, CBR 150R versi kaburator yang ditamatkan pengeluarannya pada akhir tahun lalu. Ia juga mengisi ketiadaan CBR 150R versi suntikan. Sehingga kini, sebanyak 1,208 unit CBR 150R sudah berada di atas jalan.

Dua model bersama CBR250R

Tidak praktikal

Ketua Pegawai Pemasaran Boon Siew, Yamazaki Hitoshi menyatakan CBR 150cc versi suntikan sudah tidak praktikal untuk diperkenalkan. “Harganya lebih mahal berbanding versi kaburator keluaran tahun 2007. Jentera itu sebenarnya sesuai untuk pasaran Barat,” katanya selepas majlis pelancaran dan pandu uji jentera itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).CBR 250R didatangkan dalam dua varian, standard dan Combined ABS.

Maksudnya, sistem itu merupakan kombinasi sistem brek antikunci (ABS) yang diaplikasikan pada roda hadapan dan belakangnya. Sistem tersebut berfungsi mengelakkan tayar daripada tergelincir dan brek terkunci apabila brek mengejut dibuat. Boon Siew menyasarkan jualan minimum sebanyak 200 unit setahun.

Yamazaki berpendapat, 80 peratus daripadanya terdiri daripada varian standard.Dengan ketinggian tempat duduk 0.78 meter, ia sesuai untuk mereka yang baru cuba menunggang jentera berkuasa 250cc. CBR 250R juga lebih ringan berbanding pesaingnya yang lain. Berat varian standard 161 kilogram (kg). ABS pula seberat 165kg.

Sekali pandang, CBR 250R nampak lebih kecil berbanding Ninja. Apa yang nampak besar cuma lampu hadapan dan tayar belakangnya. Namun begitu, adalah tidak adil jika saya membuat rumusan tanpa menunggangnya.

Jentera itu memiliki fairing yang lebih kecil. Posisi tunggangan yang menegak membuatkannya sesuai untuk kegunaan harian. Meternya mempunyai gabungan analog dan digital. Kemas dan praktikal. CBR 250R mempunyai adunan rekaan  Honda  VFR 1200F dan CBR 1000RR.

Kowlingnya dicipta bagi membolehkan udara memasuki bahagian enjin dengan lebih baik untuk membantu proses penyejukannya.Rekaan moden jelas kelihatan pada lampu hadapannya yang berbentuk huruf ‘Y’. Rekaan honeycomb pula digunakan untuk lampu belakang bagi memastikan pantulan cahaya brek yang lebih jelas. Enjin empat lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair itu dihidupkan menerusi penghidup elektrik.



Dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, enjin berkod CS250RE itu turut menepati piawaian emisi Euro 3.Suspensi jenis pro-link pada roda belakang membuatkan perjalanan terasa lebih selesa. Pro-Link menghubungkan spring atau damper pada swing arm. Biasanya ia terdapat pada semua jentera superbike Honda .

Bahagian hadapan pula menggunakan suspensi teleskopik.Enjin satu silindernya membuatkan bunyi CBR 250R lebih ‘lembut’. Ditambah pula dengan alat penyenyap (silencer) dan perendam bunyi terbaru yang dipasang padanya. Tiga warna menjadi taruhan, merah, perak dan hitam metalik. Harga model standard ialah RM18,799 seunit.
Sementara ABS ditawarkan pada harga RM21,799. Tawaran harga itu untuk Semenanjung Malaysia. Bagi Sabah dan Sarawak, ia belum diputuskan lagi.

Sumber: Kosmo!