Honda SH300i edisi 2015

2015 SH300i

Honda memulakan strategi menguatkan jualan skuter di Eropah apabila menampilkan produk SH300i edisi 2015.

Pengeluar motosikal Jepun itu pastinya tidak mahu melepaskan ruang sedia ada untuk memikat hati pembeli skuter di situ.

Sebabnya, Honda sudah menjual lebih daripada 1 juta model skuter dari siri SH sejak 30 tahun lalu.

Untuk model edisi 2015, Honda membuat beberapa penambahbaikan khasnya pada tindak balas enjin, kapasiti muatan, sifat praktikal, ekonomik dan pakej reka bentuk bergaya.

Skuter SH300i masih mengekalkan lantai tempat letak kaki kompak. Rim jentera automatik itu pula bersaiz 16 inci.

Kombinasi dua sifat itu memang sesuai untuk kegunaan dalam bandar.

Rangka motosikal itu dibina menggunakan material keluli. Jarak roda untuk model baharu itu ialah 1438 milimeter, lebih panjang berbanding model lama.

Ini membolehkan kewujudan ruang simpanan yang lebih luas bawah tempat duduk. Anda boleh simpan satu untuk topi keledar full face tanpa masalah.

Geometri binaan skuter itu membuatkan posisi badan sedikit ke hadapan dan neutral untuk tunggangan.

Tinggi tempat duduk ialah 805mm.

Kuasa menggerakkan roda datangnya daripada enjin silinder tunggal berkapasiti 279cc.

Kepanasan enjin dikawal dengan adanya sistem sejukan cecair.

Petrol disalurkan ke dalam kebuk pembakaran menerusi sistem suntikan PGM-FI.

Enjin itu ditala untuk kuasa pecutan serta merta dari julat pusingan enjin rendah ke peringkat sederhana.

Enjin ini memenuhi piawaian Euro 4. Inilah skuter Euro 4 pertama Honda.

Honda SH300i pasang lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang.

Untuk mengurangkan risiko kecurian, Honda mengenakan komponen Smart Key.

Fork hadapan berukuran 35mm dikatakan memberi kualiti tunggang baik.

Penyerap hentak yang digunakan pada bahagian belakang adalah jenis berkembar dan boleh diselaras.

Berat skuter itu ialah 169 kilogram (kg). Lebih ringan 1kg berbanding model lama.

Sistem brek jenis cakera pada kedua-dua roda sudah diadun bersama teknologi ABS.

Ada enam warna piliha SH300i iaitu putih, hitam, kelabu, perak, merah dan biru.

Tiada maklumat rasmi mengenai harganya.