Honda lepaskan Bulldog di Jepun

bull dogg (2)

Honda berjaya mencuri perhatian orang ramai apabila memperkenalkan Bulldog pada Pameran Motosikal Osaka di Jepun.

Namanya Bulldog dan pastinya bukan seekor anjing. Jika tanya saya, nampak macam abang kepada Ruckus.

Sebelum terlupa, Honda sekadar menyatakan Bulldog itu hanya satu konsep buat masa ini.

Bulldog mendokong misi menafsir semula waktu lapang dan motosikal. Saya agak buntu.

Reka bentuk Bulldog nampak macam ahli bina badan yang gemar bersarapan steroid.

Bulldog direka berdasarkan konsep “Lovable Touring Partner” dan ditugaskan untuk membawa penunggang ke laluan yang jarang dinikmati pengguna motosikal konvensional dan menikmati aktiviti rekreasi luar.

bull dogg

Agak-agak nak ke mana tu?

Honda Bulldog menggunakan rim 15 inci dan profail tayar lebar. Pelana pula setinggi 730mm.

Enjin digunakan ialah dua silinder DOHC berkapasiti 400cc! Memang padanlah namanya Bulldog. Bukan niat menganjing.

Respons motosikal ini dikatakan mudah dan pengemudiannya licah dalam kawasan bandar serta pedalaman.

Apa yang menarik, Bulldog ada sedikit sifat seperti unta. Ia mempunyai kemudahan untuk membawa barangan seperti peralatan khemah sewaktu kembara.

bull dogg (1)

Enjin: Dua silinder DOHC dengan sistem sejukan cecair

Kotak gear: Enam kelajuan

Pelana: 730mm

Rim: 15 inci