Honda Wave Dash FI sudah tiba di Malaysia

Gear Jahat Honda Wave Dash FI Repsol New

Hampir empat tahun lalu, saya ada bertanyakan soalan kepada Boon Siew Honda… bila mahu pasang teknologi sistem suntikan bahan api (PGM-FI) kepada model kapcai mereka.

Persoalan itu dijawab apabila syarikat yang menapak di Pulau Pinang itu memperkenalkan model kapcai Honda EX5 Dream FI sekitar bulan April 2015.

Saya tidak begitu pasti sejauh mana sambutan orang ramai terhadap model kapcai EX5 Dream FI yang nampaknya sudah dibedah habis-habisan sehingga tampak terlebih ayu.

Beberapa hari lalu, Boon Siew Honda mengambil langkah keduanya untuk membesarkan segmen kapcai dengan teknologi PGM-FI.

Kali ini, mereka tampil dengan model Wave Dash FI. Jika dibilang dengan jari, inilah model generasi ketiga Wave Dash.

 

Apa kaitan model Wave Dash FI ini dan EX5 Dream FI? Jawapannya ialah rangkaian kuasa (enjin dan kotak gear).

Wave Dash FI ini menggunakan enjin sama seperti EX5 Dream FI.

Cumanya, pakar-pakar di Honda sudah menggunakan kuasa magis mereka untuk menala semula enjin itu agar lebih berkuasa.

Kuasa maksimum sudah dinaikkan sebanyak 0.02kW dan tork menerima anjakan tambahan 0.02Nm.

 

Ini perbandingan yang lebih jelas:

 

Honda EX5 Dream FI

Kuasa Maksimum 6.23kW @ 7,500 rpm

Tork Maksimum 8.40N.m @ 6,000 rpm

Wave Dash FI

Kuasa Maksimum 6.25Kw @ 7,500 rpm

Tork Maksimum 8.42Nm @ 6,000 rpm

Saya turut mendapati kotak gear dan nisbah gear juga adalah sama bagi kedua-dua model.

Boon Siew Honda mendakwa teknologi PGM-FI menjadikan kaedah pembakaran bahan api lebih cekap tanpa mengorbankan kuasa pecutan.

Nampaknya dakwaan mereka berasas. Anda boleh lihat perbandingan di bawah:

Wave Dash FI

Kuasa Maksimum 6.25kW @ 7,500 rpm

Tork Maksimum 8.42Nm @ 6,000 rpm

Wave Dash (generasi kedua)

Kuasa Maksimum 6.18kW @ 7,500 rpm

Tork Maksimum 8.15Nm @ 5,500 rpm

Apa beberapa komponen baru ditambah pada model ini termasuk lampu isyarat rekaan baru, lampu kedua (dipasang antara kedua-dua lampu isyarat belok hadapan) dan pelindung ekzos krom.

Saiz tangki minyak nampaknya sudah dibesarkan sedikit. Model baru ini didatangkan dengan saiz tangki 4 liter berbanding 3.7 liter (model generasi kedua).

Seperti generasi Wave Dash sebelum ini, Boon Siew Honda menyediakan dua varian Wave Dash iaitu S dan R.

Wave Dash S dipasang brek cakera hadapan sahaja dan ada tiga pilihan warna: Merah, Biru dan Hitam.

Wave Dash R pula ada set brek cakera hadapan dan belakang. Pilihan warna diberikan ialah Merah, Biru, Hitam dan tema Repsol.

Harga motosikal

Wave Dash S:                  RM5,299

Wave Dash R:                 RM5,549

Wave Dash R Repsol:  RM5,699

Itu harga motosikal sahaja. Belum kira caj-caj berkaitan seperti pendaftaran, insurans dan nombor plet.

Cerita mengenai Wave Dash Generasi Kedua di sini