Honda hadiahkan baju baru pada Monkey

monyek

Honda bakal memperkenalkan model Monkey dengan pilihan warna baharu menjelang 12 Februari ini.

Kali ini, pengeluar motosikal Jepun itu mengenakan tona warna koko lembut denga padanan cat hitam pada tubuh badan motosikal berkapasiti 50cc itu.

Kedua-dua madgad motosikal kecil itu diwarnai koko lembut. Begitu juga pada bahagian bawah tangki minyak jentera itu.

Untuk menonjolkan imej rugged, jurusolek Honda mengecat warna hitam pada bahagian atas tangki minyak. Garisan warna oren pula sengaja diselitkan antara kedua-dua warna itu.

Kombinasi warna hitam dan oren juga dilakukan pada penyerap hentak belakang model Monkey. Jika diperhati pada bahagian kepala silinder (head), ia turut disaluti warna oren menerusi proses kejuruteraan untuk meningkatkan daya ketahanannya.

Warna hitam juga digunakan pada bahagian kulit enjin, rim dan fork hadapan. Kemasan krom dikenakan pada beberapa komponen seperti perumah lampu hadapan, hendal dan pelindung ekzos.

Enjin yang dipasang pada model ini ialah jenis silinder tunggal empat lejang. Transmisi digunakan jenis empat kelajuan. Model ini menggunakan sistem suntikan api PGM-FI

Kuasa maksimum ialah 3.4PS @ 8,500rpm manakala tork puncak dinikmati pada 3.4Nm @ 5,000 rpm. Sebelum terlupa, saiz tangki minyaknya ialah 4.3 liter.

Berat motosikal ini hanyalah 68 kilogram. Ketinggian tempat duduk pula…. 660 milimeter.

Honda Monkey bukannya model baru. Ia sudah ditawarkan di beberapa buah negara kira-kira 40 tahun lalu. Model pertamanya ialah Monkey Z50M yang dilancarkan pada 1967.