Skuter kaki canggih dari Peugeot dan Micro

1192051_eKick Studio Photos COMM 003_lead

Suatu ketika dahulu, skuter kaki Ben 10, Princess, Barbie dan Little Mermaid pernah menjadi alat permainan kegemaran kanak-kanak.

Di Malaysia, skuter kaki boleh didapati di pasar-pasar malam dan sebilangan kedai runcit serta pasar raya.

Baru-baru ini, ada dua syarikat iaitu Peugeot dan Micro mengambil keputusan untuk bekerjasama bagi menaik taraf alat permainan itu.

Peugeot dan Micro tampil dengan ciptaan model skuter kaki yang dinamakan sebagai e-Kick.

e-Kick ialah skuter kaki yang dibantu dengan kuasa bantuan pergerakkan menggunakan kuasa elektrik.

Alat permainan seberat 8.5 kilogram itu dipasang bateri nipis jenis litium-ion. Roda belakang skuter itu dipasang seunit motor kecil.

Kedua-dua komponen itu akan membantu pemiliknya meluncur skuter itu lebih jauh iaitu pada jarak maksimum 12 kilometer.

Kelajuan maksimum yang boleh dikecapi ialah 25 kilometer sejam.

Untuk memperlahakan skuter itu, kuasa kaki anda tetap diperlukan untuk memijak brek pada bahagian roda belakang.

1192086_eKick Studio Photos COMM 012

Apabila brek digunakan, ia akan bertindak untuk menjana semula kuasa untuk mengecas semula bateri litium-ion itu.

Jika sudah bosan meluncur, anda boleh melipat skuter itu dalam beberapa saat sebelum mengheretnya menggunakan roda sedia ada.

Anda tidak perlu bersusah payah untuk mengangkatnya.

Skuter kaki berinovasi tinggi itu diperkenalkan kepada orang ramai ketika majlis pelancaran kenderaan utiliti sukan Peugeot 3008 baharu.

Anda juga ada pilihan untuk mengecas semula bateri e-Kick dengan memasukan alat permainan itu ke dalam ruangan khas yang sedia ada pada model kereta Peugeot 3008.

Difahamkan, apabila kenderaan SUV itu bergerak, ia akan mengecas bateri alat permainan itu.

Peugeot dan Micro dijangka menjual e-Kick seawal bulan Oktober ini di Eropah. Tiada pengumuman harga diberikan.