KTM pilih Filipina

2016-ktm-rc390_827x510_61447838100Jika sebelum ini, Filipina terpaksa mengimport motosikal jenama KTM ke dalam negara.

Dalam beberapa bulan akan datang, mereka pula akan mengeksport motosikal KTM ke negara di Asia Tenggara dan China.

Ketika ini, kilang KTM itu masih dalam proses pembangunan di Santa Rosa, Laguna. Ia dijangka siap awal tahun 2017.

Kilang itu mampu mengeluarkan 20,000 motosikal dalam setahun.

Tetapi untuk pengeluaran tahun pertama, jumlahnya dihadkan kepada 6,000 unit yang mana 4,000 unit motosikal itu akan dieksport ke China dan Asia Tenggara.

Antara model yang akan dipasang ialah model naked Duke 200, Duke 390 serta model sport RC300 dan RC390.

Sebenarnya, Filipina sudah dipilih sebagai hab KTM bagi kawasan Asia Tenggara, menurut Philippine Daily Inquirer.

Semuanya bermula apabila syarikat KTM AG dan Ayala Group menjalinkan kerjasama.

Ayala kini menjadi pengedar eksklusif dan pengeluar motosikal jenama KTM di Filipina.

Sebagai permulaan, sebuah pusat pameran sulung akan dibuka di Bonifacio Global City di Bandar Taguig sebelum akhir tahun ini.

Menurut laporan Manila Times, pusat pameran itu akan dilengkapi model lengkap KTM termasuk segmen MX, Enduro, Freeride, Supermoto, Travel, Naked dan Supersport.

Selepas itu, bisnes akan dikembangkan dengan membuka sebanyak 35 kedai pengedar KTM di seluruh Filipina.

Persoalan sekarang…adakah Filipina akan eksport model KTM Duke dan RC ke Malaysia?

Jika ia berlaku, apakah nasib KTM Malaysia selepas ini?