Suzuki Burgman 400 edisi 2017

suzuki-burgman-400-3

Skuter maxi Suzuki Burgman 400 dikatakan mempunyai kualiti keselesaan tunggangan terbaik. Namun, tidak semua penunggang bersetuju dengan ‘kenyataan’ itu.

Untuk mengubati ‘kekurangan’ yang ada, pasukan jurutera Suzuki memerah otak masing-masing untuk mengekstrak idea untuk memastikan keselesaan lebih memihak kepada Burgman 400.

Sebagai permulaan, komponen pengadang angin skuter ini direka semula untuk melindungi penunggang daripada ditampar angin dan hujan.

Setiap penunggang berbeza punggungnya. Ada yang kecil comel dan tidak lupa mereka berbontot lebar.

suzuki-burgman-400-2

Namun, itu tidak menjadi masalah kerana pakar-pakar di Suzuki sudah menambah ketebalan tempat duduk setebal 20 milimeter (2cm).

Tujuannya supaya penunggang dan pembonceng menikmati keselesaan yang lebih baik.

Bagi pembonceng, anda boleh menggenggam tapak pemegang baru baru pada Burgman 400, jikalau anda takut tergolek jatuh dari skuter ini.

Nadi penggerak datangnya daripada enjin silinder tunggal berkapasi 399cc yang diadun dengan teknologi sistem pancitan bahan api. Sebelum terlupa, model ini diberikan catalyser rekaan baharu.

Untuk menurunkan berat badan Burgman 400, Suzuki memilih untuk mencuba produk brek ABS baru. Dan ia berjaya mengikis lemak sebanyak 750 gram berbanding situasi sebelum ini.

Bagi mereka yang gemar membeli-belah di pasar basah, skuter ini menyediakan bakul simpanan seluas 42 liter di bawah tempat duduknya.

Jurusolek menghias wajah model ini dengan memasang lampu LED pada lampu hadapan dan petunjuk isyarat. Rim 15 inci menjadi pilihan kumpulan teknikal.