Honda CX500 dibina dari batu!

Manusia kreatif sememangnya pelik.

Ambil sahaja contoh lelaki Jerman bernama Chris Zernia. Dia boleh perah otak untuk bina motosikal kustom Honda CX500 tahun 1982 daripada batu.

Nampak macam peminat cerita Flinstones tetapi dia sebenarnya seorang pembina motosikal kustom.

Biarpun batu yang digunakan itu warnanya seakan-akan lesung batu, materialnya tetap berbeza.

Chris guna batu basalt yang diambil dari gunung Eifel di Jerman. Basalt itu sejenis batu yang terbentuk dari leleran gunung berapi.

Sekeping batu seberat hampir 450 kilogram (kg) diukir membentuk beberapa komponen untuk motosikal itu.

Komponen itu termasuk fairing sisi dan hadapan, pelana motosikal serta perumah lampu hadapan.

Selepas memasang komponen batu itu pada Honda CX500, berat kasar motosikal itu naik kepada 354kg. Ia naik dua kali ganda daripada berat kasar asalnya.

Chris kemudiannya menguatkan kerangka motosikal itu dengan penggunaan tiub besi keluli 4mm untuk memastikan motosikal itu mampu menampung tambahan berat batu.

Motosikal ‘Flinstones’ itu menggunakan enjin standard asal 500cc itu yang boleh menjana kuasa 55hp.

Jika anda tanya mengapa Chris sanggup membina motosikal itu? Sebenarnya dia bertanding peraduan “Build da Fukker” yang dianjurkan majalah Custombike di Jerman.

Khabarnya, motosikal batu ini masuk ke peringkat final.

Dia juga membina sebuah topi keledar untuk memadankan dengan motosikal batu itu.

Chris nampaknya berhajat untuk mencipta rekod kelajuan terpantas dunia dengan menaiki motosikal batu itu. Selamat berjaya!