Scrambler elektrik gaya Shanghai

Sekali memandang rekaan dan konsepnya, sukar untuk dipercayai bahawa motosikal ini adalah produk buatan China.

Namun, tukang bina motosikal ini bukannya warga China tetapi mat salleh bernama Matthew Waddick yang berasal dari New Zealand.

Dia adalah pemilik Shanghai Customs, sebuah kedai kustom motosikal yang beroperasi selama tiga tahun di Shanghai. Shanghai merupakan satu daripada bandar di China dengan populasi penduduk seramai 24 juta orang.

Apa yang anda lihat adalah jentera Scrambler Tracker hasil pembikinan Matthew. Motosikal elektrik itu adalah berkonsepkan retro moden dan sentuhan vintaj.

Motosikal itu ternyata sedikit berbeza dengan jentera dua roda elektrik yang lazimnya ditemui dalam pasaran dunia. Jika diteliti, kebanyakan motosikal elektrik nampak macam basikal atau superbike.

Namun, dia mahu mengubah persepsi itu dengan menjadikan produknya lebih ‘cool’. Motosikal yang dibinanya boleh memecut sehingga 140 kilometer sejam. Jarak tunggangan pula adalah sejauh 250 kilometer.

Tenaga menggerakkan motosikal ini adalah dari bateri litium ion 72volt 80amp dan hab motor 5,000watt yang diselit pada rim berukuran 18 inci.

Bateri itu adalah seberat 55 kilogram yang diambil daripada sebuah kereta hibrid. Difahamkan, pek bateri itu diimport dari luar China.

Sebahagian besar komponen yang digunakan untuk membina motosikal itu datangnya dari kilang-kilang di sekitar China. Ini termasuk hab motor, lengan ayun, tangki penutup bateri dan unit sistem pengawal yang boleh ditala menggunakan aplikasi android.

Bagaimana dia mencari dan memperoleh komponen yang diperlukan untuk pembinaan motosikal itu? Jawapannya melalui bantuan aplikasi sosial WeChat dan kenalan pembekal.

Kredit Drebar.my / Shanghai Customs