Yamaha NVX – berbaloi dimiliki?

Anda sudah tahu mengenai ketibaan model Yamaha NVX. Selasa lalu, ia sudah memasuki pasaran Malaysia.

Dengan mendukung tema Revolusi dalam Inovasi, model ini sebenarnya sudah ditayangkan kepada umum ketika penganjuran MotoGP 2016 di Litar Antarabangsa Sepang.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tanpa segan silu percaya pengenalan model NVX ini akan mengangkat segmen skuter automatik ke peringkat baharu.

Apa yang pasti, Yamaha NVX dilihat akan memberi saingan sengit kepada Honda PCX 150 yang terbukti agak laris dalam pasaran. Yamaha NVX dan Honda PCX cuma berbeza 6cc.

Cumanya… di hujung jari…ada luahan dan keluhan pengguna mengenai tag harga yang dikenakan HLYM untuk jentera dua roda ini.

Persoalannya ….Berbaloikah anda bayar RM10,500 untuk memiliki Yamaha NVX? Atau lebih baik beli Honda PCX sahaja?

Mari kita teliti apa yang hebat sangat dengan Yamaha NVX ini.

1. Reka bentuk
Gaya yang dipersembahkan seperti skuter sport dengan adanya garisan dan keluk badan bersudut tajam. Ia seolah-oleh memposisikan kedudukan anda bagaikan pelumba. Moden dan agresif untuk sebuah skuter.

2. Panel meter
Menggunakan skrin digital LCD berukuran 5.8 inci sepenuhnya untuk paparan maklumat. Menarik dan terang pada waktu malam. Saiz skrin meter NVX ini sebenarnya sama besar dengan skrin telefon pintar Samsung Galaxy S8.

3. Soket
Penunggang boleh mengecas telefon mereka dengan adanya soket 12 volt. Kemudahan ini ada dalam kotak simpanan kecil bawah hendal (bahagian kiri). Tidak dipastikan sejauh mana penggunaannya boleh menjejaskan jangka hayat ketahanan bateri sukter NVX.

4. Sistem henti mula
Bukan benda baru sebab Honda PCX ada benda ini. Bagi mereka yang tidak tahu, sistem ini akan mematikan enjin seketika apabila anda berhenti NVX seperti ketika lampu trafik bertukar merah. Tujuannya untuk jimat minyak.

5. Lampu LED
Ada persamaan dengan Honda PCX, model Yamaha NVX ini juga dilengkapi teknologi LED pada lampu hadapan dan belakang untuk pencahayaan lebih terang ketika tunggang malam. LED juga tidak menjana haba sepanas mentol biasa.

6. Sistem ABS
Yamaha NVX dipasang sistem brek cakera hadapan dengan teknologi sistem brek antikunci (ABS). Brek sebegini membantu jentera membrek dalam keadaan selamat berbanding cakera tanpa ABS. Bahagian belakang menggunakan jenis drum.
Bagi Honda PCX, ia juga ada teknologi ABS tetapi dikenali sebagai C-ABS. Brek belakangnya juga jenis drum.

7. Fork
Yamaha menyatakan NVX ini menggunakan saiz fork yang lebih besar iaitu 26 milimeter (mm). Jika saya tidak silap, saiznya lebih kecil berbanding fork Honda PCX (31mm).

8. Suspensi belakang
NVX menggunakan penyerap hentak berkembar yang menghubungkan badan dan lengan ayun roda belakang. Sama seperti PCX.

9. Profail tayar dan rim
Yamaha memilih menggunakan tayar lebar tetapi rendah. Ia memberi kelebihan cengkaman dan melayan lap dengan lebih menyakinkan sewaktu membelok. Profail tayar hadapan ialah 110/80 dan belakang pula 140/70.

Honda PCX pula menggunakan tayar kurang lebar tetapi lebih tinggi. Profailnya 90/90 hadapan dan 100/90 belakang. Rim untuk NVX dan PCX sama iaitu 14 inci.

10. Kunci pintar
Memang canggih sistem kekunci Yamaha NVX. Keyless entry. Tak perlu masuk kunci dalam lubang kunci. Pembaharuan menarik dalam segmen 150cc.

11. Enjin
Yamaha NVX guna enjin silinder tunggal 155cc yang mampu jana kuasa 11kW @ 8,000rpm. Tork puncak yang dapat dinikmati ialah 13.8Nm @ 6,250rpm.

Honda PCX juga silinder tunggal namun berkapasiti sedikit rendah iaitu 149cc. Ia boleh jana kuasa 9.34kW @ 8,500rpm dan tork setinggi 13Nm pada 5,500rpm.

Kedua-dua model ini menggunakan sistem pancitan api dan tali sawat (bukan rantai).

12. Tangki minyak
Yamaha NVX dipasang tangki sekecil 4.6 liter manakala PCX 150 menggunakan tangki 8 liter.

13. Tempat duduk dan berat skuter
Pelana NVX ialah 791mm dan berat kasar skuter ini ialah 118 kilogram (kg).
Tempat duduk Honda PCX pula rendah iaitu 761mm tetapi berat kasarnya ialah 131kg.

Keputusan pembelian ada dalam tangan anda. Beli ikut citarasa, bajet dan kemampuan untuk menanggung kos penyelenggaran nanti.

 

Artikel : Honda PCX 150 , Pelancaran Honda PCX 150