Yamaha fokus pengeluaran enjin di Indonesia

Yamaha Motor mengumumkan hasrat mereka untuk menghasilkan enjin berkapasiti besar untuk kegunaan motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan ATV (All-Terrain Vehicles).

Enjin itu kemudiannya akan dieksport ke negara Barat disebabkan terdapat permintaan tinggi di situ untuk motosikal berkuasa tinggi dan ATV.

Portal asia.nikkei.com menyatakan #Yamaha akan labur berbilion-bilion Yen untuk tujuan itu antara tahun 2017 hingga 2019.

Pelaburan itu bertujuan menyiapkan barisan pengeluaran di kilang itu untuk hasilkan 10,000 hingga 20,000 unit enjin setahun.

Ia dijangka membabitkan penghasilan enjin berkapasiti 700cc ke atas. Projek itu akan bermula tahun ini.

Aktiviti penghasilan komponen untuk enjin ATV sudah bermula dan pemasangan enjin dikatakan akan bermula pada 2019.

Di Jepun, Yamaha membina hampir 200,000 enjin di kilang di Iwata, wilayah Shizuoka setiap tahun. Tempoh sama juga menyaksikan kira-kira 50,000 enjin dibina untuk kenderaan roda empat.