Yamaha tawar MT-09 Tracer versi CKD

Bagi mereka yang bercadang untuk membeli sebuah jentera tourer, ada berita untuk anda.

Yamaha MT-09 Tracer versi program pemasangan tempatan (CKD) bakal tiba ke pasaran pada minggu hadapan dengan tag harga RM52,000.

Pengenalan model Yamaha CKD terbaharu ini menjadikan ia produk CKD keempat selepas siri XJ6, MT-07 dan MT-09.

Motosikal berkuasa tinggi ini dipasang di kilang Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) di Sungai Buloh, Selangor.

Melihat pada unit enjinya, ia sama seperti Yamaha MT-09 iaitu jenis tiga silinder sebaris DOHC bersesaran 847cc dengan kotak gear manual enam kelajuan.

Rangkaian kuasa itu mampu menjana 115PS @ 10,000rpm dan tork setinggi 87.5Nm @ 8,500rpm. Bekalan petrol disalurkan ke kebuk pembakaran adalah melalui kaedah pancitan terus kawalan elektronik.

Dari segi fizikal, #Yamaha MT-09 Tracer adalah lebih lebar, panjang dan tinggi berbanding MT-09 biasa. Perbezaan ketinggian tempat duduk pula adalah kira-kira 4.5 sentimeter.

Berat kasar termasuk bendalir dan isian penuh tangki minyak petrol bagi #Yamaha MT-09 Tracer ialah 210 kilogram (kg) iaitu lebih 22kg lebih berat daripada MT-09 versi naked.

Selaku sebuah jentera touring, HLYM menawarkan saiz tangki lebih besar untuk Tracer dimana ia mampu menampung 18 liter petrol. Untuk MT-09 naked, tangkinya adalah seluas 14 liter.

Sebanyak 750 unit model #Yamaha MT-09 Tracer versi CKD akan dihasilkan bagi tempoh setahun. Sebelum ini, HLYM menawarkan hampir 110 unit versi CBU MT-09 Tracer ke pasaran.

Pilihan warna untuk model #Yamaha CKD ini ada dua iaitu biru dan kelabu.