Boon Siew umum penamatan EX5 Dream


Motosikal ikonik Honda EX5 akan ditamatkan riwayat diri pasaran tempatan selepas kehadiran selama 26 tahun. 

Dalam tempoh 26 tahun lalu, Honda EX5 Dream (juga dikenali dengan nama kod C100 dan 
C100MB) banyak membantu pengguna Malaysia dalam kehidupan harian. Banyak juga menyentuh kehidupan masyarakat setempat.

Boon Siew Honda ada menghantar satu kenyataan kepada saya. Inilah dia:

Sebagai usaha untuk memenuhi arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia, Boon Siew 
Honda Sdn Bhd mengumumkan bahawa pengeluaran C100 dan C100MB akan ditamatkan 
secara rasmi, berkuatkuasa dari 31hb Disember 2013 bagi mematuhi panduan Forum Sedunia untuk Pengharmonian Peraturan Kenderaan (WP.29) yang disidangkan di bawah Suruhanjaya Ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah (UNECE). 

Penggantinya adalah Honda EX5 Dream 110 baharu yang dilancarkan pada bulan Julai tahun ini. Versi terkini yang bergelar Honda EX5 Dream 110, mengekalkan penampilan klasik model sebelumnya secara keseluruhan.

Malah ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri yang dipertingkatkan seperti Enjin 110cc Standard Euro 2 yang menjanjikan peningkatan prestasi sebanyak 11peratus dengan kecekapan bahan api 53.6 kilometer setiap liter, tangki minyak 4 liter, tayar serta tempat duduk yang lebih lebar dan suspensi yang lebih lasak bagi memenuhi keperluan pelanggan untuk tahap kemampuan, keselesaan dan kelasakan yang unggul. 

Boon Siew Honda Sdn Bhd ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan niaga dan pengedar kami, pihak media, dan terutama sekali, para pelanggan kami yang telah memberikan sokongan mereka selama ini.