Tunggang Uji – Kawasaki Z250

Selepas sudahnya majlis pelancaran Kawasaki Z250 diadakan di Litar Speedway Elite di Subang Jaya, Selangor, peluang untuk tunggang uji model terbaharu itu dibuka.

Bagi tidak melepaskan peluang itu, saya sempat mendaftar untuk mendalami apa kelebihan model itu. Seperti ditulis dalam entri sebelum ini, Z250 banyak persamaan dengan Ninja 250R.

Tetapi itu tidak bermakna corak tunggangannya sama. Saya pernah menguji Ninja 250R dan apabila membandingkan dengan Z250, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Perbezaan itu bukan libatkan prestasi enjin. Seperti anda sudah sedia maklum, enjinnya sama.

Berdasarkan pengalaman tunggangan saya, Z250 lebih santai ditunggang di kawasan bandar atau dalam kesesakkan lalu lintas. Hendal yang sedikit terkeluar berbanding Ninja 250R membolehkan saya mengemudi motosikal naked itu dengan lebih baik bila mencelah antara kenderaan.

Ketiadaan fairing memudahkan anda lihat tayar hadapan dengan lebih baik. Saya mengambil keputusan untuk menunggang motosikal ini ke Ipoh, Perak pada hujung minggu. Sebenarnya model ini lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar tetapi apa salahnya jalan jauh.

Memang tidak begitu selesa jika dibanding dengan Ninja 250R. Dengan ketiadaan penghadang angin hadapan, menunggang Z250 menempuh angin memang agak memenatkan. Tamparan angin satu cabaran utama walaupun kelajuan hanya 120km/j. 

Bila angin tiada, saya menurunkan gear untuk mula memecut. Tarikan dari gear pertama dan jarum meter boleh cecah sehingga paras 12,000rpm. Selepas itu, cut-off. Gear kedua pun sama. Saya hanya mampu capai kelajuan hampir 160 km/j sahaja.  

Selepas sejam menunggang, saya kena berhenti untuk menghilangkan rasa kebas punggung dan penat lengan. Tempat duduknya sedikit keras. Lengan lengguh sebab tambah tenaga kawal motosikal tempuh angin kuat.

Bagi saya, tanggungjawab yang diamanahkan kepada sistem suspensi hadapan dan penyerap hentak amat memuaskan. Jarang sesekali terasa hentakan kuat atau membuai bila jelajah sejauh 690km.

Dengan modal minyak RM30, Z250 membawa saya bergerak sejauh 330km. Masa itu, saya kekal kelajuan dibawah paras 135km/j. Setahu saya. buat masa ini hanya ada warna hitam dan putih. Pilihan warna merah belum lagi ditawarkan. Kalau-kalau saya silap, mohon ditegur.

Koleksi gambar: