Tunggang Uji – EX5 Dream 110

Jika dulu nampak tegap..mantap..segak..kacak…maskulin. Sekarang sudah tukar jadi lembut dan comel-comel. Nasib baik belum tukar jadi montel.

“Apa dah jadi gan motor ni”
“Buruk benor”
“Baik beli model lama”

Adakah ayat-ayat di atas lintas dalam fikiran anda? Itulah sajian yang dilemparkan kepada saya bila tayang motosikal baru kepada beberapa rakan. 

Padahal ini motor pinjam. Duit dalam saku poket pun bukannya banyak mana. Sampai nak beli EX5 baru pun masih teragak-agak.

Model motosikal paling tua dalam rangkaian Boon Siew Honda ini dilancarkan di Genting Highlands. Sebelum ini, saya ada membuat perbandingan dua generasi EX5. Untuk entri pelancaran, klik di sini

Jika anda tanya saya mana datang idea rekaan baharu EX5 110 Dream. Jawapan yang saya terima dari Boon Siew Honda ialah:

Motosikal ini direka di Jepun. Kemudian diperkenalkan di Thailand. Rekaan sama seperti di Thailand di bawa ke Malaysia tetapi reka bentuknya diubah sedikit. 

Mengapa ubah sedikit?
Jawapan yang saya terima: Untuk sesuaikan dengan pasaran Malaysia. 

Apa yang terlintas dalam fikiran saya pada waktu itu…. orang Malaysia yang minta rekaan macam ini? Nampak sangat saya ini dah tua. 

Anda nak kutuk, nak puji, nak meraung ke pasal EX5 110 Dream baru itu hak masing-masing. Objektif saya ialah uji sejauh mana sedapnya motosikal comel ini.

Empat hari adalah tempoh pinjaman saya. Ujian hanya libatkan kawasan bandar sahaja. Kalau cuaca sejuk, nak hidupkan motosikal ini perlukan usaha lebih. Biasalah…enjin Honda kalau makin panas, makin sedap prestasinya.

Enjin dihidupkan dengan dua cara sama ada pakai penendang kaki atau picit butang pemula. Sistem gear dan operasi sama macam mana-mana kapcai lain.

Semasa menunggang, dengan jelas saya boleh terasa enjin seperti berdenyut-denyut. Macam orang sedang sakit kepala. Itu keadaan kalau kekal kelajuan pada 60kmj pada gear ketiga. Pijak masuk gear keempat, sakit kepala sudah berkurangan. 

Apa yang saya lalui sepanjang empat hari bersama EX5 110 Dream mungkin tidak cukup untuk beri gambaran lengkap. Inilah hasil pengalaman saya:

Hendal EX5 baharu terlalu ringan bila capai kelajuan 80kmj. Mungkin berat bahagian hadapan perlu ditambah.

Fork depan dan suspensi kembar belakang bantu serap hentakan pada kadar memuaskan. Punggung kurang rasa kebas sebab tempat duduk agak empuk.

Bila tumpang sebagai pembonceng, ada bezanya berbanding model lama EX5. Sebenarnya model baharu lebih selesa.

Tapak kaki sebagai penumpang tidak terlalu ketara jika dibanding dengan model generasi pertama. Semuanya disebabkan pemijak kaki telah diasingkan daripada lengan ayun. Bukan sempurna mana cuma ia lebih baik.

Soal belanja minyak petrol, satu tangki penuh boleh jalan sejauh 117km dengan syarat sila kekal kelajuan bawah 90kmj.

Galeri gambar:


  • Khairul Faizi

    Salam,
    Minta nasihat di mana saya boleh beli EX5 110 (Super Cub) Single Seat Conversion Kit (Single Seat & Rear Rack) di sekitar Klang Valley seperti dalam clip Youtube ini
    http://youtu.be/ELzpfxBTWMY

    Terima kasih