XJ6 Diversion – Tunggang Uji

Saya tidak memandang sangat rupa paras motosikal. Lawa atau tak, bukannya isu besar. Apa yang saya mahu ialah keserasian dengan orang biasa macam saya.

Lagipun, saya bukannya ada banyak pengalaman bawa motosikal besar. Jadi, ini antara aspek yang saya perlu nilai bila mahu uji motosikal besar.
Pada awalnya, saya bertanya pada mereka yang berpengalaman. Belajar apa yang harus dilihat. Apa pantangnya. Pendek kata, apa sahaja yang terlintas di fikiran.
Tempoh satu hari biasa dihabiskan untuk menyesuaikan diri dengan motor baharu. Tak kiralah motor besar atau kecil.
Kadang-kadang kena gelak juga sebab bawa motor besar macam kapcai. Tak apa. Biar kena gelak dari jatuh bodoh. Silap hari bulan makan diri. Lagi teruk kalau terpaksa duduk wad.
Motosikal besar pertama yang saya uji ialah model XJ6. Itulah versi naked. Bukan lawa mana pun tapi ia ada keistimewaan pada saya.
Saya gemar prestasi engine breaking XJ. Secukup rasa bagi penunggang baru macam saya. Anda tidak perlu senada dengan saya. Itu pendapat saya. Mungkin tak sama dengan anda.
Raya lalu saya sempat pinjam model XJ6 Diversion. Terima kasih Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) sebab murah hati layan permintaan saya.
XJ6 Diversion yang dipinjamkan ialah model naik taraf edisi 2013. Pilihan warna yang menanti saya ialah Race Blu (kelabu biru).
Jika ditanya apa beza edisi 2011 dan 2013, tak banyak sebenarnya. Setakat cat, perumah lampu isyarat membelok dan pemegang tempat duduk belakang. Ini sahaja harga sudah naik RM500.
Kembali semula pada cerita tunggang uji. Mula-mula ada tanggapan XJ6 ini susah sedikit nak bajet dalam jalan jem. Sebabnya fairing hadapan menyorok roda. Bila sudah naik, senang rupanya.
Cuma jaga-jaga cermin pandang belakang. Takut bergesel dengan harta orang sahaja. Kali ini, suspensi belakangnya memang cun. Tepat dengan apa saya perlukan. Tugas menyerap hentakan memang cemerlang.
Jika rasa ia terlalu keras atau lembut, anda boleh selaraskannya. Berat motosikal ini 205 kilogram tetapi ia mudah dikendalikan. Memang stabil dan lincah di kawasan selekoh.
Tempat duduknya memang ergonomik. Posisi hendal tidak melenguhkan lengan saya. Bukan mahu puji lebih tapi ini apa yang saya rasa.
XJ6 Diversion tiada masalah untuk capai kelajuan 200 kilometer sejam (km/j). Dengan adanya fairing dan pelindung udara di hadapan, tamparan angin tidak jejas tunggangan saya.
Minyak. Dua kali tangki penuh telan kos hampir RM64 (masa itu RON95 masih RM1.90). Dapat jalan sejauh 738km dan masih ada dua bar lagi pada meter.

Matematik mudah, satu tangki sama dengan 369km. Satu liter sama boleh pergi kira-kira 22km. Jika anda tanya enjin ada beza atau tidak dengan versi naked atau XJ6 Diversion 2011, jawapannya tidak.

Koleksi gambar: